Selasa, 19 Maret 2013

BICARA DAN DAKWAH


ELY HUSSIN

Assalamualaikum,Kepada umat Islam yang dihormati dan dimuliakan,

Yang Kurik itu Kendi, Yang Merah itu Saga. Yang baik itu budi, yang indah itu bahasa. Itu kata-kata orang Melayu lama. Dah jadi peribahasa. Menuntut kita agar menggunakan bahasa yang baik, dalam apa jua tujuan dan niat kita. Sebagai seorang Islam, bukan adat yang jadi piawaian perbuatan kita tetapi hukum syarak. Setiap kali mendraf surat kepada badan kerajaan atau urusan rasmi yang perlu menggunakan bahasa malaysia, kita menggunakan ayat seperti "perkara di atas dan perbincangan/perbualan telefon...dengan...pada...dengan segala hormatnya adalah dirujuk ". Jika anda sebagai penerima surat atau emel begini, pasti anda merasa sejuk berbanding isi surat yang terus kepada niat tanpa dimulai dengan mukaddimah yang 'menjalin hubungan baik antara penulis dan audience'.

Bahasa – sebagai uslub berkomunikasi sebenarnya amat penting. Adakalanya, tatabahasa orang itu berterabur tetapi disebabkan tujuan kita bercakap adalah untuk berkomunikasi, maka nahu bersepah itu tidak menjadi isu selagi pemilihan perkataan dilakukan dengan baik. Maka, cara kita berbahasa juga perlu dititik-beratkan. Anda bayangkan jika anda menulis kepada mana-mana pihak untuk meminta bantuan, minta penjelasan, minta sokongan atau apa jua tujuan – tetapi menggunakan bahasa yang kasar, dapatkah pihak penerima surat/mesej anda tadi melayani anda dengan baik dan dengan segera? Ya, sesetengah pihak mengatakan isi atau mesej itu lebih utama dari cara ianya disampaikan tetapi adakah anda berharap semua orang akan berfikiran rasional begitu? Paling tidak, orang akan berkata –" Dah nak minta tolong tu tak boleh ke cakap elok sikittttttt..".

"Dan kalimat yang baik adalah (merupakan) sedekah." (HR. Al-Bukhari)

"Jagalah diri kalian dari api neraka walau hanya dengan separuh buah kurma dan kalau kalian tidak memilikinya, maka dengan kalimat yang baik." (HR. Al-Bukhari)

"Barang siapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhir, maka hendaklah berkata yang baik atau diam." ( HR. Al-Bukhari-Muslim)

Diriwayatkan dari Abdullah bin Amr, Nabi Shallallaahu alaihi wa Sallam pernah memberitahukan bahwa di Syurga ada kamar yang bahagian luarnya tampak dari dalam dan bahagian dalamnya tampak dari luar. Ketika ditanyakan untuk siapakah kamar itu, maka Nabi Shallallaahu alaihi wa Sallam menjawab,

"Bagi orang yang memperbagus ucapannya , memberikan makan, dan bangun (shalat) malam ketika orang sedang tidur." (Shahih riwayat Ath-Thabrani dan Al-Hakim)

Sebagai manusia, antara faktor yang mendorong kita melakukan sesuatu perkara dengan sesungguhnya adalah bila kita meletakkan perasaan kita didalam perkara itu. You are emotionally involved in the matter. Kesedihan melihat orang yang compang-camping meratah siput babi tanpa pembelaan dari pemerintah yang hanya gah mengwar-warkan falsafah 'cemerlang, gemilang, terbilang' ~ akan membawa kita kepada mencari suatu sebab utama (root of the problem) yang dapat menyelesaikannya secara tuntas, once and for all. Bayangkan jika kita dihadapkan dengan suatu isu dengan bahasa yang sudahlah rojak, memaki-hamun pula. Jika anda dapat tahu penulisnya, masih okay lagi. Anda mungkin boleh menghubunginya secara peribadi untuk menasihatinya tetapi jika penulis hanya menggunakan nama samaran yang anda tidak dapat memastikan secara soheh siapakah dia, maka anda hanya boleh menggunakan mekanisme umum ~ yang tidak dapat ditujukan secara khusus kepada 'orang itu'.

Bahasa dan Dakwah

Ayat dakwah berhikmah - surah An-Nahl ayat 125 – ud'u ilaa sabiili robbika bil hikmah. Serulah ke jalan Tuhanmu dengan cara hikmah mungkin dah tersimpan di dalam SIMCard di otak anda. Dah khatam 17kali. Fakta yang tepat. Hujah yang mantap. Dalil yang terang dan jelas. Penjelasan yang tuntas. Semua ini dan banyak lagi – yang menjadi fakta sokongan untuk menguatkan hujah anda masih kurang berkesan jika anda tidak menggunakan bahasa yang baik. Bahasa yang merapatkan jurang antara penulis dengan audience. Kita melihat banyak posting yang mana isinya tidaklah semuanya perlu dihantar kepada Alam Flora untuk tujuan pelupusan – akan tetapi kurang diendahkan disebabkan faktor bahasa itu.

Anda mungkin memiliki ilmu yang hebat, yang dapat disaksikan berdasarkan rincian anda tentang isu yang dibahaskan. Anda merujuk kepada petikan ayat quran, hadis, tafsiran ulamak, dll, akan tetapi jika ayat-ayat yang anda kemukakan tidak disusun dengan sedemikian rupa agar ujud "pertalian aqidah yang sama" dengan audience anda, bawalah sebanyak mana fakta dan statistik untuk menyokong hujah anda, audience akan merasa muak dan menghantar posting anda ke Recycle Bin. Sadly, it is still happening and rampant. Sebagai da'ie – anda mungkin telah memiliki bergulung-gulung ijazah dalam bidang syariah dsb. Ilmu anda sangat berguna kepada orang lain yang terkapai-kapai tidak tahu beza Islam Hadhari dan Islam Syumul/Kaffah. Tetapi jika bahasa yang anda pilih tidak disusun dengan baik sehingga audience merasa 'selesa' membaca posting anda, ia lebih mengundang kekeliruan, kebencian dan fitnah. Paling worse, nama gerakan atau parti yang anda sertai atau sokong turut sama terpalit sungguhpun anda tidak mewakili mereka tetapi menulis atas kapasiti individu. Saya yakin, anda tidak mahu menjadi nila yang merosakkan susu sebelanga.

Ada juga orang yang berpendapat bahawa kata-kata Saidina Ali iaitu unzhur maa qiila, laa tanzhur ma qaala – lihat apa yang dikata, bukan lihat siapa yang mengata bermakna ia 'menghalalkan' bahasa yang kita gunakan asalkan 'maksud/tujuan' tercapai. Jika ini betul, bermakna kita bebas menghantar SMS misteri atau surat layang kepada mana-mana pihak tanpa sikap bertanggung-jawab ( accountable) atas pegangan anda. Jika anda seorang da'ie – adakah ini sikap yang betul iaitu matlamat menghalalkan cara? Adakah menulis surat layang atau SMS misteri itu berjaya membawa anda kepada matlamat iaitu sababiyah (cause-effect) untuk mencapai matlamat akhir (ultimate intention)? Adakah menggunakan bahasa yang baik dengan nahu dan tatabahasa yang tersusun menjejaskan keupayaan penerima mesej untuk mengambil tindakan susulan, tindakan pembetulan (corrective action)??? Bukankah makanan yang lazat menjadi lebih menyelerakan jika diletakkan di dalam bekas yang cantik siap dengan gubahan dan aksesori? Bayangkan makanan yang sedap diletak dalam tempurung yang kotor. Dikala makan menjadi wajib, anda akan makan jika alternatif lain ialah babi (khinzir) tetapi jika ada pilihan, anda pasti meninggalkannya.

Amar ma'ruf nahy munkar adalah satu tuntutan bukan satu pilihan ( not an option) sekiranya anda serius untuk menyertai "Kelab Muflihuun" (orang-orang yang beruntung/berjaya – surah 3: 104/110). Akan tetapi, hasil akhir iaitu samada usaha anda berjaya atau tidak bukan terletak di tangan anda kerana ia adalah hak prerogatif Allah selaku Pemberi Hidayah. " Sesungguhnya kamu tidak akan dapat memberikan petunjuk kepada orang yang kamu cintai sekalipun, tetapi Allahlah yang akan memberikan petunjuk kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki" (Surah Al Qasas:56) Usaha yang dituntut dari seorang da'ie yang tahu bahawa melakukan amar ma'ruf nahy munkar bukan satu pilihan adalah memastikan dia mengambil langkah-langkah sebagaimana yang dinyatakan di dalam surah anNahl ayat 125 itu agar dakwahnya berjaya menembusi pemikiran dan perasaan target dakwahnya, bukan hanya untuk menang hujah apatahlagi memberitahu seluruh alam betapa hebatnya dia memuntahkan idea@ berhujah. Dari Abu Umamah Al-Bahili Radhiallaahu anhu , dari Nabi Shallallaahu alaihi wa Sallam baginda bersabda,

"Aku menjamin rumah di tepi syurga bagi siapa saja yang meninggalkan miro' (perdebatan) walaupun ia berada di pihak yang benar."

Ingatlah, jika menang hujah menjadi niat kita, dakwah itu tidak akan kemana sebaliknya akan lebih mengundang fitnah sekiranya identiti yang anda rahsiakan itu terbongkar (sekiranya anda merahsiakan identiti anda) dan pada ketika itu, adakah anda mahu menjadi seekor burung kasawari yang menyembunyikan kepalanya di dalam tanah setiap kali ujud ancaman?

Marilah kita bertanyakan diri sendiri secara jujur apakah matlamat dakwah dan aktiviti amar ma'ruf nahy munkar yang kita buat? Jawablah dengan jujur adakah kita telah menggunakan uslub terbaik hingga Islam itu meniti dari bibir ke bibir? Adakah kita hanya ingin mempamerkan kehebatan kita mengukir ayat, sajak atau puisi – semata-mata untuk kepuasan peribadi dan pujian dari orang lain? Adakah kita hanya menulis sesuatu yang lahir dari emosi hanya kerana sikap kita (pre-conceived idea) pada sesetengah pihak?

Tulisan panjang lebar di atas ini adalah peringatan kepada diri sendiri supaya tidak menulis sesedap rasa sebaliknya menggunakan kesempatan, uslub dan wasilah yang dimiliki untuk menyampaikan walau satu ayat (hadis dari Abdullah bin Umar) dengan cara paling baik hingga dapat mencapai matlamat ini:-

• Dapat membuat orang lain yang mendengar senang dan menjadikan hatinya luluh.

• Memberikan pengaruh yang besar kedalam jiwa orang yang mendengarnya.

• Membuahkan efek positif dan tindakan yang baik dalam segala keadaan, dengan izin Allah.

• Dapat membuka pintu-pintu kebaik-an dan menutup pintu-pintu keburukan.

Berdakwahlah dengan cara terbaik tetapi bukan semata-mata untuk menjaga imej diri sebagai da'ie, menjaga imej parti atau gerakan yang kita sertai – tetapi ia adalah kepatuhan kepada hukum syarak yang menjadi prasyarat untuk menghasilkan akhlaq yang baik.

Sepuluh jari saya susun jika bahasa yang dipilih tidak sesuai dan menyinggung perasaan mana-mana pihak.

Sekian, wassalam.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar